Demam
itu ialah penyakit yang menyebabkan suhu tubuh melebihi suhu biasa.
Jika demikian tiada siapa pun yang tidak pernah merasa demam, namun
apakah hakikat penyakit demam itu sebenarnya dari sudut agama dan apakah
pula hikmahnya?
Hakikat Demam.
Sebuah hadith yang
diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radhiallahu anhuma mengatakan yang maksudnya :
"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam
hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha dari Nabi
Shallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :
"Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Muslim)
Dalam
kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh
orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah
telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab
yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah
telah
menzahirkan
berbagai jenis
kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.
Sebahagian
ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api
neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam
dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa
panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi
dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai
perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan
api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.
Adapun
maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah
bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang
paling afdhal itu ialah memberi minum
air.
Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.
Memang
tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau
mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?
Sebenarnya
kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita
kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh
dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Shallallahu
alaihi wasallam sendiri, para sahabat dan pengikut-pengikut mereka,
pernah mengadukan kesakitan mereka.
Diriwayatkan
bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke
rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah
Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya :
Wahai
Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja
yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.
Adapun
yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama
manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan
penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau
menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat
mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan.
Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya
itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan
kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.
Al-Quran
ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub Alaihissalam dalam
menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi Ayyub
alami ialah berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini
sangat
dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal,
tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa menggarunya
dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda menggaru
badannya dengan pecahan periuk dan akhirnya dengan batu. Namun masih
juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah
luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang luka itu, nanah yang
baunya sangat busuk. Orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan
dengan bau busuk itu, lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri
tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang memencilkannya
kecuali isterinya yang merawatnya.
Nabi
Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan dia
bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah
bermohon kepada Allah agar mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan
permohonan Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam
Al-Quran :
Tafsirnya
: "Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan berkata:
Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah saja yang
lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani" .
(Surah Al-Anbiya¡¦: 83)
Jika
kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub
Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam
rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Baginda menyebut "aku
disentuh" dan tidak menyebut perkataan "aku ditimpa". Di sini
menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang datang menyentuh dirinya.
Nabi Ayyub tidak menyebut juga "atas kehendakMu", kerana kesopanannya
yang sangat tinggi terhadap Allah Subhanahu Wa Taala. Selepas itu,
rayuan baginda disudahi dengan kata-kata yang halus juga iaitu: "Sedang
Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala
yang
mengasihani" .
Pada
suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya yang dapat
menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya sifat
Allah yang lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih. Hanya
inilah permohonan Nabi Ayyub kepada Allah. Dia tidak merungut dan
mengeluh, apatah lagi menyesali apa yang telah berlaku. Dia cuma memohon
belas kasihan daripada Allah Subhanahu Wa Taala.
Inilah
satu kisah yang patut kita ambil iktibar, pengajaran dan contoh
tauladan daripadanya. Walaupun Nabi Ayyub telah ditimpa penyakit, harta
bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya,
tetapi berkat sabarnya dan imannya, Allah Subhanahu Wa Taala telah
mengabulkan doa dan rayuannya, lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan
berkembanglah keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah
ruah.
Mencaci-maki Demam.
Selaku
seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak
mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar
semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari
mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh
Nabi Shallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith
yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya :
"Bahawasanya
Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah berkunjung ke rumah Ummu
Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:
"Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil?
Dia menjawab: "Demam, semoga Allah tidak
memberikan berkat kepadanya".
Nabi Shallallahu
alaihi wasallam bersabda: "Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana
dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan
(tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi".
(Hadith Riwayat Muslim)
Begitulah,
segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat,
hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar
menempuhinya.
Demam Penebus Dosa.
Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.
Begitu
juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu
anhu yang disebutkan sebelum ini,
mempunyai maksud yang
sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang
menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.
Jadi,
ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia
menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.
tq info :)
ReplyDeleteoooooooooooo sebab tue la doktor suruh minum banyak air bila demam....
ReplyDeleteinfo menarik..thx
ReplyDeleteartikel terbaru:
Sekeluarga mencuri di Al - Ikhsan
sihatkan rohani+jasmani dengan yang baikbaik.hee.jangan noughtynoghty.lalala.
ReplyDeleteinfo yg berguna...thanks...
ReplyDelete